MENU

 

Selamat datang ke Laman Web Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah. MPJBT telah maju setapak lagi dengan penyediaan perkhidmatan Laman Webnya sendiri demi kemudahan dan keselesaan para penduduk khususnya kepada para pembayar cukai.

Kepercayaan pelanggan terhadap ketelusan pengurusan adalah sangat diutamakan oleh pihak MPJBT. Oleh itu, pelanggan-pelanggan boleh terus melayari laman web ini untuk mendapatkan maklumat-maklumat pengurusan Majlis di dalam semua sektor dengan cepat dan tepat termasuklah pembangunan hartanah, perlesenan, penilaian cukai harta, perkhidmatan kewangan, aduan awam dan sebagainya.

Keupayaan Laman Web ini akan dipertingkatkan dari masa ke semasa termasuklah dari segi penyediaan perkhidmatan yang interaktif pada masa hadapan seperti permohonan layout, pembangunan GIS, pengurusan perumahan, industri, perniagaan dan pelancongan yang terdapat di kawasan MPJBT.

Dalam usaha untuk mempermudahkan pelanggan menjalankan transaksi seperti membuat pembayaran kepada Majlis, satu sistem pembayaran secara talian juga telah dibangunkan melalui usahasama MPJBT bersama dengan pihak Maybank yang dikenali sebagai Maybank 2U.Com.

Pihak MPJBT akan lebih proaktif dalam merancangkan pembaharuan-pembaharuan pada masa akan datang dan Insya-Allah dengan berkat kerjasama bersepadu daripada semua pihak, usaha-usaha ini pasti akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Justeru itu, saya menyeru kepada seluruh warga Johor Bahru Tengah untuk terus memberikan sokongan kepada pihak MPJBT ke arah matlamat menjadikan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah sebagai Organisasi peneraju kemajuan, efektif dan berwibawa di dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan secara tidak langsung dapat membantu menjanakan pembangunan ekonomi.

Akhir kata, selamat melayari Laman Web MPJBT dan sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, bolehlah memajukannya melalui Laman Web ini untuk tindakan kami. Kami juga mengalu-alukan idea-idea konstruktif dan perkongsian maklumat daripada semua pihak bagi mempertingkatkan Laman Web ini demi kebaikan kita bersama.

Sekian, salam hormat. Terima Kasih.

TUAN HAJI ADIB AZHARI BIN DAUD
Yang DiPertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah

Pautan Laman